BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Monday, December 7, 2009

KOTA BHARU - “Mangsa kereta yang terjunam di tangga eskalator berada hampir tiga meter dari tempat saya duduk dan saya tergamam melihat kejadian itu,” kata salah seorang yang menyaksikan kejadian maut di KB Mall dekat sini, petang kelmarin.

Remaja berkenaan, Ahmad Darmawulan Ibrahim, 22, berkata, semasa kejadian jam 4.50 petang kelmarin, dia baru sahaja selesai membeli di salah sebuah farmasi di pasar raya itu sebelum melihat mangsa jatuh berdekatan dengannya.

“Mula-mula kejadian, saya terdengar bunyi benda berlanggar kuat, kemudian saya mendongak ke atas, ada banyak benda runtuh, bata, bumbung, cermin jatuh dan pecah.

“Kebanyakan pekerja dan mereka yang membeli-belah di pasar raya itu kaku dan tergamam melihat satu-persatu bata dan cermin jatuh. Sejurus kemudian, dalam masa tidak sampai dua minit, saya lihat kereta terjunam, lalu tersangkut di eskalator berdekatan saya,” katanya kepada :Sinar Harian.

Ahmad berkata, dia ternampak ada dua mangsa, satu berada pada jarak tiga meter darinya dan seorang lagi berada pada kedudukan ketiga anak tangga eskalator.

Bagaimanapun, dia mengetahui empat mangsa terlibat, tetapi tidak pasti yang mana maut dan cedera ketika itu.

“Saya percaya mangsa yang berada di kaki eskalator jarak tiga meter itu maut. Tetapi semasa kejadian, boleh dikatakan tiada siapa yang berani mendekati mangsa kerana takut benda lain jatuh lagi dari atas.

“Dalam masa 20 minit berada di situ, saya sempat melihat rakan mangsa (pelajar Kolej Kejururawatan Masterskill) yang beruniform menangis dan apabila runtuhan reda, mangsa berdekatan saya diberi bantuan pernafasan kecemasan (CPR) oleh pihak keselamatan dan orang ramai,” katanya.

Katanya, kejadian tersebut berlaku di luar jangkaan dan bersyukur kerana dia terselamat daripada kejadian ngeri terbabit.

0 Comments:

Post a Comment